Kalau kita perhatikan, harga pasaran rumah atau hartanah hari ini kian meningkat dan jauh berbeza jika ingin dibandingkan dengan harga rumah diawal tahun 2000 dan tahun-tahun sebelumnya. Pahit untuk ditelan namun kebanyakan harga rumah hari ini hanya mampu dilihat tetapi belum tentu mampu untuk dimiliki. Yang sering bermain di buah fikiran ramai orang adalah apakah faktor yang mendorong peningkatan harga hartanah setiap tahun.
Artikel kali ini saya akan kongsikan dengan anda beberapa faktor yang mendorong harga hartanah meningkat. Saya cuba ulas dalam bahasa mudah. Selamat membaca!
#1- Peningkatan Inflasi
Pertama sekali adalah dari segi faktor ekonomi iaitu berlakunya peningkatan inflasi. Setiap tahun inflasi meningkat naik yang mana secara puratanya peningkatan inflasi berlaku sebanyak 4%. Peningkatan harga rumah ini agak memberi kesan terhadap kebanyakan orang kerana kenaikan gaji pekerja tidak selari dengan peningkatan harga rumah.
Jika kita imbas semula data beberapa tahun ke belakang, menurut kaji selidik Indeks Harga Rumah Global tahun 2016, harga rumah di seluruh dunia meningkat secara purata 6% pada tahun tersebut, berbanding kenaikan 4.1 % pada 2015.
Manakala harga rumah di Malaysia meningkat 5.3% pada suku keempat 2016, berbanding setahun sebelumnya. Ini meletakkan Malaysia di tempat ke-27 mencatatkan kenaikan harga rumah tertinggi dalam kalangan 55 negara yang dikaji dalam indeks berkenaan.
#2- Pemaju Hartanah
Peningkatan harga rumah ketika ini sebahagian besarnya didorong oleh pemaju dalam mencapai trajektori masing-masing. Mereka menaikkan harga berdasarkan demand dan demografi kemampuan pembeli.
Selain itu, ada berlakunya persaingan antara pemaju-pemaju lain, maka pemaju akan menetapkan harga hartanah berdasarkan harga jualan dan prestasi pemaju lain.
Namun begitu, bukanlah 100% kita boleh menyalahkan pemaju akan sebab kenaikan harga rumah kerana harga jualannya masih bergantung pada faktor inflasi, target market dan sebahagian lagi adalah kos bahan binaan.
#3- Supply dan Demand
Konsep demand dan supply adalah prinsip asas ekonomi yang mengaitkan hubungan antara produk dan permintaan.
Secara lazimnya, dalam setiap transaksi hartanah ia akan melibatkan pembeli dan hartanah. Supply itu produk(hartanah), dan pembeli dikira sebagai demand(permintaan). Konsep supply dan demand ni yang akan menentukan keseimbangan harga hartanah.
Bila mana supply(hartanah) rendah atau kurang di lokasi tertentu, tetapi demand(permintaan) masih tinggi, maka harga hartanah lebih cenderung untuk melonjak naik. Tapi apabila jumlah demand rendah, supply pula tinggi, harga hartanah lebih cenderung untuk menurun.
Tambah pula, dari sudut ekonomi peningkatan harga hartanah didorong oleh faktor ‘Scarcity of land’.
‘Scarcity of land’ ini menyebabkan harga meningkat apabila tanah tidak mencukupi atau jika rumah tidak mencukupi di kawasan tertentu. Walaupun tanah tersedia untuk membina lebih banyak rumah masih ada, namun masa yang diperlukan untuk membinanya tidak dapat memenuhi keperluan hartanah dalam kadar segera, jadi permintaan akan kekal meningkat.
#4- Lokasi Hartanah
Antara penyumbang utama berlakunya peningkatan harga hartanah adalah disebabkan oleh lokasinya juga. Kebiasaannya harga hartanah akan melonjak naik disebabkan oleh potensi dan kematangan sesebuah kawasan dari pelbagai aspek.
Misalnya, dari segi hospitaliti, pendidikan, akses lebuhraya, keperluan, pengangkutan awam atau mungkin pembangunan yang lain.
Cuba anda lihat saja hartanah yang berdekatan dengan pusat komersial mega atau kompleks membeli-belah seperti MidValley dan KLCC. Harga hartanah di sini ada nilai yang tinggi kerana kedudukannya yang strategik di tengah bandar dengan pelbagai akses kemudahan yang ada.
Itu sahaja info untuk artikel kali ini. Moga dapat beri sedikit gambaran bagaimana peningkatan harga hartanah boleh berlaku. Semoga bermanfaat.