Tanah ini dirizabkan hanya untuk orang Melayu sahaja. Hartanah ini dikhaskan untuk dijual atau dibeli oleh bumiputera Melayu. Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu, melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan.
Undang-undang Tanah Rizab Melayu (selepas ini ERM) mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan di negeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Enakmen Rizab Melayu 1913 ini telah dimansuhkan mulai daripada 15.12.1933 dan digantikan dengan ERM 1933.
Pada tahun 1935 ERM 1933 ini telah disemak dan diterbitkan semula sebagai ERM (NMB Bab 142) dan digunakan hingga ke hari ini. Negeri-negeri lain kemudiannya turut mengwujudkan ERM mereka masing-masing.
Objektif Wujudnya Tanah Rizab Melayu
Terdapat dua objektif utama:-
- Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu
- Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.
Kuasa pengisytiharan terletak kepada siapa?
Di Negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di mana ERM (NMB Bab 142) dipakai, kuasa untuk membuat pengisytiharan terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM). Di Johor, PTG dengan kelulusan RDM manakala di lain-lain negeri, RDM.
Ianya bertujuan untuk mewujudkan satu kawasan Rizab Melayu, membatalkan kawasan Rizab Melayu dan meminda had atau sempadan mana-mana Rizab Melayu.
Tanah-tanah yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu terbahagi kepada beberapa iaitu tanah kerajaan, tanah rizab awam, tanah hutan simpan dan tanah milik.
Sumber: https://www.jkptg.gov.my/my/panduan/senarai-undang-undang/akta-enakmen/enakmen-rizab-melayu
Anda buntu masih tiada pembeli rumah anda? Klik SINI. Nanti kami tengokkan.