Kita kena faham yang Malaysia ni bukan negara 4 musim. Secara geografinya, negara kita terletak dalam garisan Khatulistiwa maka kita perlu hadap iklim Khatulistiwa yang sedia ada iaitu cuaca panas dan lembab. Cabaran paling utama bila cuaca yang sangat panas. Kena pula pada orang yang tak ada aircond. Panas dia tu tak bawa bincang.
Lagipun untuk kita pasang aircond sepanjang masa sangatlah memakan kos dan tenaga elektrik. Jadi, ada beberapa cara lain yang boleh anda gunakan untuk kurangkan panas dalam rumah anda. Cara yang terakhir paling jimat dan tak perlu keluar apa-apa kos.
1. Catkan rumah dengan warna cerah
Catkan rumah korang guna warna-warna cerah macam biru cair, hijau cair, putih dan sebagainya. Kenapa kena guna cat warna cerah? Kalau diikutkan dalam subjek sains kita belajar masa sekolah dulu, warna yang cerah bersifat pemantul cahaya dan kurang menyerap haba. Oleh yang demikian, ruangan rumah akan jadi lebih sejuk. Haba susah nak terperangkap.
Dalam pada masa yang sama, penggunaan warna-warna cerah sebagai dinding rumah korang membuatkan kediaman rumah nampak lebih luas daripada biasa. Rasa selesa je mata memandang. Ianya seolah-olah memberikan satu ilusi optik kepada penglihatan kita meskipun keluasan ruang sedia ada tetap sama.
Warna-warna gelap juga menarik sebenarnya. Kelihatan lebih elegan. Namun bagi mengatasi masalah panas dalam rumah, elakkan daripada gunakan warna-warna gelap seperti hitam dan dark blue sebab itu yang akan jadi salah satu faktor rumah korang panas dan lebih mudah serap haba.
2. Buka exhaust fan
Exhaust Fan ni selalunya orang guna time masak je. Nak kurangkan atau hilangkan asap daripada masakan lah biasanya. Lagi-lagi masa tengah masak tumisan tu. Berair je biji mata.
Cuba kali ni korang buat kelainan, buka exhaust fan tu bukan bila masak je tapi buka juga masa cuaca dah start panas. Ikut logik, bila korang on kan benda ni, bukan setakat asap je keluar, udara panas serta bahang-bahang dalam rumah tu sekali dapat disedut keluar. Senangkan?
3. Gunakan lampu yang kurang haba
Kadang-kadang kecil punya hal yang buat panas sebagai contoh lampu. Penggunaan lampu yang mengeluarkan haba yang banyak, antara punca rumah korang jadi panas. Sebaiknya gunakan lampu ‘flourescent bulb’ yang mengeluarkan cahaya yang sama seperti ‘incandescent bulb’. Haba yang dikeluarkan ‘flourescent bulb’ kurang habanya berbanding mentol yang lain. Bukan itu je, lampu ni dapat kurangkan penggunaan tenaga elektrik sekali.
4. Buat siling tinggi
Untuk sesiapa yang bercadang atau baru nak buat rumah. Buatlah siling yang tinggi kerana dikatakan ia mampu untuk jadikan ruang dalaman rumah anda lebih sejuk.
Selain itu, ada juga tips yang mengatakan penggunaan Fiber Cement Board sebagai siling rumah dapat sejukkan rumah. Ini kerana siling jenis ni lebih murah dan senang diperoleh. Untuk pastikan ruang dalaman lebih sejuk, alaskan dengan fiberwool insulation. Penebat haba akan mengurangkan kesan pemanasan ruang ini.
5. Buka pintu dan tingkap
Cara paling cliche tapi ada juga yang tak buat. Simple sahaja. Buka pintu atau tingkap seluas-luasnya biarkan angin luar boleh masuk sekaligus haba atau bahang dalam rumah boleh keluar dengan mudah. Elakkan letak perabot atau langsir yang terlalu tebal di pintu atau tingkap sebab nanti ianya akan bataskan pergerakan udara. Nak bagi sejuk rumah jangan selalu bertutup pintu dan tingkap, rumah akan jadi sangat berbahang.
Mudah bukan?
Korang rasa info ni bermanfaat? Jangan lupa share ye!