Macam kita semua ketahui, pemain bola sepak sering digaji dengan gaji yang tinggi kerana prestasi dan bakat yang ditonjolkan oleh mereka. Pemain-pemain ini kebanyakannya terkenal dengan gaya hidup mewah dengan aset-aset yang hebat.
Sebilangan besar pemain bola sepak terkemuka dunia memperoleh berjuta-juta dolar setiap tahun. Ini membuatkan mereka tidak mempunyai masalah dalam membelanjakan wang mereka untuk barangan mewah seperti membeli kereta supercar, barangan antik, pakaian branded dan bermacam lagi. Di samping itu, kebanyakan pemain bola sepak handalan dunia memiliki hartanah dengan harga yang luar biasa.
Hartanah mewah sangat sinonim dengan kerjaya mereka kerana ia sedikit sebanyak memberi impak dalam populariti dan reputasi bagi seorang pemain bola sepak. Untuk artikel kali ini, saya bawakan kepada anda rumah mewah bagi dua orang lagenda bola sepak dunia iaitu Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
1. Lionel Messi

Lionel Messi atau dikenali sebagai Leo Messi, adalah pemain bola sepak profesional Argentina yang bermain sebagai penyerang untuk kelab Ligue 1 Paris Saint -Germain dan kapten pasukan kebangsaan Argentina. Beliau dianggap sebagai pemain terbaik di dunia dan dianggap sebagai salah satu pemain terhebat sepanjang masa, Messi telah memenangi enam anugerah Ballon d’Or, kasut emas Eropah, dan pada tahun 2020 pernah dinobatkan sebagai Pasukan Impian Ballon d’Or.
Bila bercerita tentang senarai rumah pemain bola sepak termahal pada tahun 2021, rumah Lionel Messi berada di antara kedudukan teratas. Dilaporkan, bintang bola sepak itu memiliki dua (2) rumah di Barcelona, Sepanyol, dan satu (1) rumah di Argentina (tanah airnya).

Salah satu rumah beliau di Barcelona dibina di kawasan yang mesra alam. Rumah yang indah dan mewah ini menghadap ke pantai Mediterranean dan mempunyai sekatan tertentu untuk pesawat terbang di atasnya. Selain itu, ia terletak di pinggir bandar Barcelona yang paling mahal, Castelldefels.


Rumah kedua beliau di Barcelona adalah Zero Eco-Home, sebuah rumah lestari masa depan dengan struktur seperti bola sepak. Menurut Forbes, rumah ini memiliki kediaman 3 tingkat yang mempamerkan teras kayu, halaman kolam besar, sektor heksagon, garaj atap hijau, dan juga atap yang memiliki rumput di sebahagiannya, dan dipancarkan cahaya matahari di sebahagiannya lagi. Jika anda lihat dari pandangan atas, rumah agam ini bercorak geometri seakan sebiji bola sepak.


Ini pula adalah rumah Messi sewaktu kecil yang terletak di Rosario, Argentina. Rumah ini sama sekali tidak mahal tetapi mempunyai banyak memori dan kenangan buat beliau. Siapa sangka, dari rumah biasa dan kerja keras yang beliau lakukan untuk menjadi pemain terbaik dunia, kini beliau berjaya memiliki aset hartanah yang mewah.
2. Cristiano Ronaldo

Cristiano Ronaldo adalah pemain bola sepak profesional Portugal yang bermain sebagai penyerang untuk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dan menjadi kapten pasukan kebangsaan Portugal. Beliau juga dianggap sebagai salah satu pemain terhebat sepanjang masa, Ronaldo telah memenangi lima anugerah Ballon d’Or dan empat kasut emas Eropah, yang paling banyak dimiliki oleh pemain Eropah.
Beliau telah memenangi 32 trofi dalam kariernya, termasuk tujuh gelaran liga, lima Liga Juara-Juara UEFA, satu Kejuaraan Eropah UEFA dan satu UEFA Nations League. Ronaldo memegang rekod untuk gol terbanyak (134) dan assist (42) di Liga Juara-Juara, gol terbanyak di Kejuaraan Eropah (14), dan penjaring gol terbanyak antarabangsa oleh pemain lelaki (111). Beliau adalah salah satu dari beberapa pemain yang dicatatkan sebagai pemain bola sepak yang telah membuat lebih dari 1,100 penampilan kerjaya profesional, dan telah menjaringkan lebih dari 780 gol untuk kelab dan negara.
Menurut Forbes, Cristiano Ronaldo adalah antara pemain bola sepak dengan gaji tertinggi. Selain itu, beliau adalah pemain bola sepak ke-2 terkaya di dunia. Ronaldo telah berpindah ke pelbagai lokasi selama bertahun-tahun, namun buat masa ini, bintang bola sepak itu tinggal di kampung halamannya, Madeira.
Ronaldo pernah membeli sebuah gudang di Funchal dan mengubahnya menjadi sebuah rumah besar tujuh tingkat yang indah. Dilaporkan, Ronaldo membelanjakan 7 juta GBP (RM40,201,151.55) untuk mengubahsuai rumah itu, termasuk 2 kolam renang berukuran Olimpik, pemandangan laut yang indah, padang bola, dan jakuzi. Bintang bola sepak itu sering berkongsi gambar menghabiskan masa yang berkualiti dengan anak-anaknya, termasuk Cristiano Ronaldo Jr.

Pada tahun 2018, Ronaldo berpindah ke rumah barunya di Juventus. Ianya sebuah villa dengan jalan persendirian yang dilengkapi dengan keselamatan yang terperinci. Rumah impian ini mempunyai gim canggih, kolam renang, dan banyak kemudahan lain.

Selain itu, Ronaldo juga memiliki harta tanah mewah di Madrid yang mana beliau menghabiskan 4.8 juta GBP(RM27,576,326.54), yang terletak dekat dengan kawasan kejiranan elit La Finca. Hartanah ini mempunyai kolam renang dalaman dan luaran, gimnasium canggih, dan padang bola.
Dan inilah rumah di mana beliau tinggal bersama ibu bapanya pada masa kecil, yang terletak di Funchal, Madeira. Pada ketika itu, beliau hanya berkongsi bilik kecil dengan adik-beradiknya. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang yang agak susah namun itu tidak mematahkan semangat juang beliau untuk mencapai cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak terbaik dunia.
Kini, Messi dan Ronaldo membuka mata dunia bahawa kejayaan itu datangnya dari usaha yang berterusan dan sikap tidak mudah putus asa.
Itu sahaja untuk artikel kali ini. Semoga ada sedikit input dan pengajaran yang dapat dipelajari dari kisah dua atlet sukan hebat ini.
BACA: Beli Rumah RM29 Juta Sebagai Hadiah Buat Ibu
Nak kami bantu anda dalam pembelian atau penjualan hartanah? Klik SINI