Info Hartanah

Jenis-jenis Pegangan & Hak Milik Tanah Yang Anda Perlu Tahu di Malaysia

Mengetahui jenis-jenis Hak Milik Tanah menjadi perkara penting yang perlu diambil kira sebelum membeli rumah. Hal ini demikian, kebanyakan masalah berkaitan tempoh milikan, tempoh pindah milik dan kelayakan pinjaman sering berlaku berpunca daripada kurangnya peduli terhadap sesebuah pemilikan/pegangan hartanah tersebut. Terdapat beberapa pegangan/hak milik tanah yang perlu anda tahu sebelum membeli sebuah rumah.

1. Freehold

Freehold atau hartanah pegangan kekal merujuk kepada kepentingan pemilikan berkekalan. Hartanah ini menjadi milik anda selama-lamanya dan ia mudah dipindah milik daripada individu ke individu yang lain. Anda tak perlu dapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa seperti kerajaan negeri untuk memindah milik. Namun begitu, kerajaan masih mempunyai hak untuk mengambil tanah tersebut bagi tujuan tertentu dan memberikan pampasan yang sewajarnya kepada pemilik hartanah. Hal ini termaktub dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 (Land Acquisition).

2. Leasehold

Leasehold atau hartanah pegangan pajak merujuk kepada anda memajak atau menyewa hartanah tersebut dari kerajaan. Kebiasaannya tempoh pajakan ialah 99 tahun. Jika tempoh pajakan hartanah berkurangan seperti 10 tahun sahaja yang tinggal, maka anda boleh membuat lanjutan pajakan dengan membayar premium pajakan.

Pajakan akan diperbaharui untuk memaksimumkannya kepada 99 tahun semula. Jika anda gagal memperbaharuinya, tak mustahil untuk hartanah anda diambil semula oleh kerajaan. Bagi tempoh pindah milik pula, ia mengambil masa agak panjang berbanding freehold bergantung pada situasi.

3. Tanah Rizab Melayu (TRM)

Tanah ini dirizabkan hanya untuk orang Melayu sahaja. Hartanah ini dikhaskan untuk dijual atau dibeli oleh bumiputera Melayu sahaja. Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan.

Tanah Rizab Melayu merupakan salah satu bentuk pemilikan tanah yang telah dikhususkan kepada komuniti natif Melayu seperti yang disyaratkan di dalam enakmen-enakmen rizab Melayu yang wujud sebelum merdeka. Pengwujudan undang-undang ini bermatlamat untuk melindungi kepentingan pemilikan tanah kaum Melayu dan menghalang sebarang bentuk urusniaga tanah melibatkan Melayu dan bukan Melayu.

Bukan kesemua negeri di Malaysia diberi mandat kuasa untuk mengistiharkan Tanah Rizab Melayu ini. Hanya beberapa buah negeri sahaja seperti di negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di mana ERM (NMB Bab 142) dipakai, kuasa untuk membuat pengisytiharan terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM). Di Johor, PTG dengan kelulusan RDM manakala di lain-lain negeri, RDM.

Sumber: Jabatan Ketua Pengarah dan Galian Persekutuan

Hak Milik: MasterStrata atau Individual Title

Selepas diberi kelulusan kepada pemaju untuk memajukan sebidang tanah, pejabat tanah akan memberikan hak milik induk atau Master Title kepada pemaju bagi keseluruhan projek perumahan itu.

Setelah rumah-rumah itu diserahkan kepada pembeli, pemaju akan memohon kepada pejabat tanah untuk memindah milik hartanah dari hak milik induk(Master Title) kepada hak milik individu. Kebanyakan hartanah hak milik individu terdiri daripada rumah landed seperti rumah Semi D dan teres. Hak milik individu ialah dokumen pemilikan yang dikeluarkan apabila anda menjadi pemilik tunggal sebidang tanah. Lazimnya, ia khusus untuk hartanah bertanah

Bagi hak milik strata pula, kebanyakannya terdiri daripada rumah high rise seperti kondominium dan apartment. Secara ringkasnya, hak milik strata adalah jenis hak milik tanah yang dikeluarkan untuk hartanah berstrata. Ini bermaksud, anda dan pemilik apartment/kondo memiliki unit/petak tertentu dan bertanggungjawab ke atas harta bersama yang dikenali sebagai kawasan sepunya termasuk kolam renang, gim, lif, tempat istirahat dan mana-mana kawasan yang bukan kepunyaan pemegang unit strata individu. Di samping itu, ada juga hartanah landed yang berstatuskan strata.

Jika anda membeli hartanah Master Title, ia akan mengambil masa yang lama untuk dipindah milik oleh pemaju ekoran banyak prosedur yang perlu diikut. Ia akan memberi masalah untuk anda semasa penjualan rumah. Tapi, jika anda beli hartanah hak milik individu, ianya lebih mudah untuk dijual.

Itulah antara hak milik atau pegangan hartanah yang ada di Malaysia ini. Semoga berbekalkan info ringkas ini dapat memberi panduan buat anda dalam memilih hartanah yang sesuai dan sedikit sebanyak memudahkan urusan.

Buat anda yang masih buntu mencari rumah, boleh klik SINI. Nanti kami tengokkan.

Related Posts

Compare

Enter your keyword