Info Hartanah

Rumah Terbengkalai? Apa Pembeli Boleh Buat?

Apa yang boleh pembeli lakukan jika projek perumahan anda telah disahkan terbengkalai?

Akta Pemajuan Rumah

1. Seksyen 8A kepada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1967 (Pindaan 2015), berkuatkuasa pada 1Julai 2015 menyatakan, sekiranya pemaju gagal atau dengan sengaja atau enggan meneruskan sesuatu projek perumahan dalam tempoh masa enam (6) bulan secara berterusan atau lebih daripada tempoh masa yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli, dengan syarat pembeli telah mendapat persetujuan bertulis daripada bank pembiaya dan telah disahkan oleh Pengawal Perumahan (satu badan yang diberikuasa oleh Menteri di bawah Akta tersebut untuk mengawal selia segala urusan berkaitan projek perumahan), maka PEMBELI BOLEH MENAMATKAN PERJANJIAN JUAL BELI TERSEBUT dengan menghantar Notis Pembatalan Perjanjian kepada Pemaju / Liquidator yang dilantik oleh Mahkamah.

Mengembalikan Semua Bayaran

2. Setelah perjanjian dibatalkan, Pemaju/ Liquidator hendaklah mengembalikan semua bayaran harga jual beli kepada pembeli dalam tempoh masa 30 hari daripada tarikh penamatan perjanjian. Sekiranya gagal dikembalikan, pemaju/ liquidator tersebut boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000.00 tetapi tidak lebih RM250,000.00. Selepas didapati bersalah, Pemaju/ liquidator itu juga boleh didenda tidak melebihi RM5,000 untuk setiap hari dimana kesalahan tersebut masih berlaku.

Tubuhkan Jawatankuasa

3. Tubuhkan satu jawatankuasa bertindak sesama pembeli-pembeli yang terlibat dengan projek terbengkalai tersebut. Sebaik-baiknya jangan bertindak berseorangan.

Tujuan jawatankuasa ditubuhkan adalah untuk :

A) Berbincang dengan pihak bank untuk tujuan pelupusan atau penangguhan atau penjadual semula bayaran ansuran bulanan sementara keputusan rasmi dicapai dengan pihak KPKT.

B) Mencadangkan kepada KPKT untuk melantik Pemaju baru bagi tujuan mengambil alih dan meneruskan projek tersebut dengan kos ditanggung oleh Pemaju baru tertakluk kpd terma-terma dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh KPKT dan dipersetujui bersama oleh Pembeli pembeli.

C) Menawarkan kepada Pembeli-pembeli yang masih berminat untuk meneruskan projek tersebut dengan terma-terma yang tidak merugikan pembeli.

D). Mencadangkan kepada KPKT untuk menyekat pengeluaran dan pengembalian wang deposit pembukaan akaun HDA oleh Pemaju asal dan juga apa-apa baki lebihan dalam akaun HDA Pemaju asal.

E). Mencadangakan agar wang deposit atau wang lebihan akaun HDA Pemaju asal tersebut digunakan untuk tujuan menanggung sebahagian daripada bayaran bulanan pinjaman pembeli dengan bank.

Seksyen 18A

4. Selain daripada itu, Seksyen 18A pula memperuntukkan, sekiranya didapati mana-mana pemaju telah menyebabkan projek perumahannya terbengkalai, pembeli boleh membuat laporan rasmi kepada KPKT, dan jika didapati bersalah, mereka boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sebanyak tidak kurang daripada RM250,000.00 tetapi tidak lebih daripada RM500,000.00 atau ahli lembaga pengarahnya dan pengurusannya boleh dipenjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Berkuatkuasa 1 Julai 2015

5. Walaubagaimanapun, perlu diingat, peruntukan yang saya nyatakan di atas hanyalah terpakai untuk perjanjian jual beli yang ditandatangani dengan pemaju BERKUATKUASA PADA 1 JULAI 2015 SAHAJA, dan ianya TIDAK MEMPUNYAI KESAN TERKEBELAKANG.

Maknanya, sekiranya sesuatu perjanjian jual beli itu ditandatangani sebelum daripada tarikh tersebut dan rumah itu kemudiannya disahkan rumah terbengkalai , maka peruntukan yang saya nyatakan di atas tidak akan terpakai. Walaubagaimanapun item 3 di atas boleh dijadikan panduan.

Moga perkongsian ini bermanfaat. Terima kasih.

Kredit Penulisan: SALKUKHAIRI ABD SUKOR (Peguam Hartanah)

BACA: 4 Pesanan Untuk Bakal Pembeli Rumah Pertama

Nak dapatkan panduan lengkap dalam hartanah?

1. Kombo Ebook Rumah Lelong >> https://rumahlelong.onpay.my/order/form/RumahLelong/1258

2. Combo Rumah Subsale >> https://rumahlelong.onpay.my/order/form/RumahSubsale/1258

3. Rahsia Tanah Anda >> https://rumahlelong.onpay.my/order/form/EbookRahsiaTanahAnda/1258

Related Posts

Compare

Enter your keyword